JOHOR BAHRU, 27 MAC: Seramai 116 warga asing ditahan ketika sedang melakukan persiapan menunaikan solat Jumaat di atas bumbung sebuah kilang di Muar hari ini walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dikuatkuasakan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mereka yang ditahan merupakan warganegara Pakistan, Bangladesh dan Indonesia.
“Ketika operasi dibuat, mereka memberi alasan tidak tahu berkenaan PKP, bagi saya alasan itu tidak boleh diterima.
“Sehubungan itu kesemua individu terlibat telah ditahan. Kita juga akan menyiasat majikan mereka sama ada mereka maklum akan perkara tersebut atau tidak dan tindakan lanjut akan diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Tindakan lanjut terhadap kesemua warga asing itu akan dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Akta Imigresen 1959/63.
Tambah Ayob Khan lagi, penahanan seramai 116 warga asing itu menjadikan jumlah keseluruhan individu ditahan kerana melanggar PKP seramai 149 orang.
“Setakat ini, seramai 149 individu telah ditahan kerana melanggar arahan PKP yang mula dilaksanakan sejak 18 Mac lalu dimana 33 daripadanya merupakan warga tempatan,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan seramai tujuh lagi rakyat tempatan yang mengikuti program jemaah tabligh di Sulawesi, Indonesia telah pulang ke tanah air.
“Mereka yang pulang menerusi Terminal Feri Stulang Laut di sini telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan didapati negatif Covid-19,” tambahnya.
Sebelum ini, seramai 36 rakyat Malaysia yang mengikuti program jemaah yang tabligh di Sulawesi telah pulang secara berperingkat pada 23 Mac, 24 Mac dan 26 Mac.
Johorkini