BM | EN | 中文

110 PESERTA TERIMA MANFAAT PROGRAM INSAN JOHOR 2019

aminolhuda-6.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 29 OKT : Seramai 110 golongan sasar terdiri daripada kelompok B40, ibu tunggal, Orang Asli dan Orang Kelainan Upaya (OKU) di negeri ini menerima bantuan latihan dan peralatan menerusi Program Insan Johor 2019, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan berkata, bantuan tersebut merupakan salah satu usaha kerajaan negeri melalui Unit Strategik Modal Insan Johor (SMI) dengan peruntukan sebanyak RM280,000.

“Peruntukan yang disampaikan dalam bentuk latihan dan peralatan seperti mesin jahit industri, ketuhar, alat menggunting rambut serta peralatan mengurut dan rawatan muka ini bertujuan bagi menggalakkan para peserta ini meningkatkan kuantiti dan hasil produk masing-masing.

Advertisement

“Kita juga mahu para peserta ini dapat menjana pendapatan tambahan dan seterusnya terkeluar daripada kumpulan sasar ini dan seterusnya dapat meningkatkan ekonomi bukan sahaja kepada individu, malahan kepada keluarga dan ekonomi negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Program Insan Johor 2019 di pejabat Unit Strategik Modal Insan Johor (SMI) di Iskandar Puteri, di sini, hari ini.

Turut hadir; Pengurus Besar SMI, Saifuddin Abdul Rahim; Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan negeri, Hidayah Jelani dan Pengurus Kanan Operasi SMI, Mohd Fazle Mohd Yusop.

Advertisement

Aminolhuda yang juga Adun Parit Yaani berkata, program ini juga dapat memberi motivasi dan membuka peluang kepada kumpulan sasar yang terpinggir supaya dapat memajukan diri dan mengambil peluang untuk meningkatkan taraf hidup melalui perniagaan.

“Kajian yang telah dilakukan menunjukkan rata-rata penerima bantuan di daerah ini masih meneruskan usaha mereka dan sebahagian besar daripada mereka telah berjaya mengembangkan projek yang dijalankan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan penerima bantuan program ini agar memanfaatkan sebaik mungkin bantuan yang diterima untuk mengembangkan projek yang diusahakan bagi memastikan usaha kerajaan negeri membantu mereka tidak sia-sia.

Advertisement

“Kerajaan tidak meminta penerima membayar balik bantuan yang diberikan, tetapi itu tidak bermakna penerima boleh bersikap sambil lewa atau menggunakan bantuan tersebut bagi tujuan lain atau keuntunggan mudah dengan menjual peralatan yang diterima.

“Sebaliknya, apa yang kerajaan mahukan adalah peningkatan pengeluaran daripada projek yang dijalankan yang mana akhirnya akan memberi keuntunggan kepada penerima itu sendiri sekaligus dapat merancakkan ekonomi negeri ini,” katanya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan program dan aktiviti SMI, orang ramai boleh mengikuti laman sosial Facebook Unit Strategik Modal Insan di pautan https://www.facebook.com/unitstrategikmodalinsanjohor/.

Advertisement

 

JohorKini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top