BM | EN | 中文

11 tekong, dua penghantar migran antara ditahan di Johor Bahru dan Kota Tinggi

polis-jenayah.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 24 JUL: Sebelas tekong, dua penghantar migran (transporter) serta 79 migran antara 92 individu yang ditahan dipercayai terlibat dalam penyeludupan migran di bandar raya ini dan Kota Tinggi, sejak Sabtu lepas hingga semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam kenyataan semalam berkata, kesemua 92 orang termasuk seorang kanak-kanak perempuan migran berumur setahun sembilan bulan itu ditahan di sekitar Kota Tinggi, Seri Alam dan Iskandar Puteri.

Operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, IPD Kota Tinggi dan IPD Iskandar Puteri.

Advertisement

“Pada Sabtu (19 Julai), PPM Wilayah Dua berjaya menahan empat tekong dan 15 migran di kawasan Sungai Rengit, Kota Tinggi yang cuba keluar menuju ke Indonesia. Hasil soal siasat, polis berjaya menahan dua lagi tekong dan seorang migran di kawasan perairan berkenaan.

“Kesemua enam tekong dan 16 migran itu merupakan lelaki Indonesia berumur lingkungan 21 dan 45 tahun dengan kesemuanya menjadikan perairan Sungai Rengit sebagai transit sebelum pulang ke Indonesia,” katanya, lapor Bernama.

Ayob Khan berkata pada Ahad (20 Julai), tujuh lelaki dan seorang wanita rakyat Indonesia pula ditahan di sebuah inap desa di Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, dekat sini dan hasil penahanan mereka, polis berjaya menahan empat tekong rakyat tempatan dan Indonesia di sebuah bilik di sebuah resort di Ulu Tiram.

Advertisement

Beliau berkata kesemua migran dan tekong yang ditahan itu berumur 20 hingga 45 tahun dan didapati menggunakan inap desa sebagai rumah ‘penampungan’.

Katanya, pada hari sama (Ahad), seramai 26 migran Indonesia melibatkan 20 lelaki, lima wanita serta kanak-kanak perempuan berumur setahun sembilan bulan terbabit turut ditahan di tepi Jalan Batu 12, Kampung Mawai, Kota Tinggi.

Hasil siasatan terhadap mereka, polis kemudian berjaya menahan seorang lelaki dipercayai penghantar kepada semua migran tersebut, keesokan harinya (Isnin).

Advertisement

“Lelaki berumur 53 tahun terbabit ditahan di Kampung Banjar, Ulu Tiram dan dia didapati merupakan seorang lelaki Indonesia bertaraf penduduk tetap,” katanya.

Menurut Ayob Khan, pada Isnin juga, seramai 21 migran lelaki Bangladesh dan seorang pemandu bas rakyat tempatan dipercayai penghantar migran, turut ditahan ketika menaiki sebuah bas di Tanjung Kupang, Iskandar Puteri, manakala pada keesokan (Selasa), seramai lapan migran lelaki Indonesia serta seorang tekong rakyat tempatan ditahan, dalam serbuan di Kampung Tanjung Adang dan Taman Desa Paya Mengkuang, Iskandar Puteri.

Beliau berkata hasil kesemua serbuan terbabit, polis merampas tiga bot pancung, lima enjin bot 40 kuasa kuda, 28 telefon bimbit, sebuah kereta, sebuah bas serta pelbagai mata wang asing berjumlah RM8,048.90.

Advertisement

Kesemua yang ditahan kini disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 5(2), Seksyen 6(1)(C) dan Seksyen 55E(2) Akta Imigresen 1959/63.

Menurut Ayob Khan, pada masa sama, pihaknya kini sedang menyiasat dakwaan kewujudan modus operandi baharu penyeludupan migran dengan menggunakan kapal besar di perairan antarabangsa dengan kesemua migran akan dipindahkan (transit) ke kapal terbabit terlebih dahulu sebelum menaiki bot pancung.

“Kalau dahulu, mereka akan terus naik bot pancung sama ada keluar atau masuk ke negara kita, namun, kita sedang siasat lagi taktik terbaharu ini, saya tidak boleh sahkan lagi buat masa ini,” katanya.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top