BM | EN | 中文

1,000 pelajar dalam wilayah KEJORA dibantu

Datuk-Seri-Che-Zakaria-Mohd-Salleh-kejora.jpg
Advertisement

KOTA TINGGI, 30 MAC: Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) meneruskan program ‘Back To School 2021’ pada tahun ini dengan melibatkan 1,000 penerima daripada keluarga kurang berkemampuan meliputi 11 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wilayah KEJORA.

Program itu merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) KEJORA yang telah dilaksanakan sebanyak tiga kali sejak tahun 2018.

Penganjuran program kali ini mendapat kerjasama yang baik daripada Pusat Khidmat DUN seluruh Wilayah KEJORA, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi, Kulai dan Kluang.

Advertisement

Pengerusi KEJORA, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh berkata, program ‘Back To School 2021’ merupakan pemberian bantuan kelengkapan persekolahan kepada pelajar yang dikategorikan sebagai keluarga miskin atau miskin tegar.

Menurutnya, pemberian bantuan berkenaan dapat memberi dorongan dan motivasi untuk membantu keluarga pelajar membuat persiapan persekolahan terutama ketika pandemik Covid-19 ketika ini.

Bermula dengan bantuan RM150 seorang pelajar dengan hanya 500 penerima, kini sumbangan telah ditambah baik.

Advertisement

“Pada tahun 2021, KEJORA memberikan bantuan sebanyak RM200 kepada setiap pelajar.

“Malah, jumlah penerima manfaat juga meningkat iaitu seramai 1,000 pelajar dengan peruntukan sebanyak RM200,000,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Program Back To School 2021 Wilayah KEJORA di sini pada Khamis lalu.

Hadir sama, Pengurus Besar KEJORA, A Jalil Md Arsad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain; ADUN Tanjung Surat, Datuk Ir Syed Sis Syed Abd Rahman; ADUN Machap, Abd Taib Abu Bakar; ADUN Johor Lama, Rosleli Jahari dan Timbalan Pengarah Pendidikan (Pembelajaran) Johor, Shahilon Abdul Halim.

Advertisement

Menurut Che Zakaria yang juga ADUN Permas berkata, setiap pelajar yang layak akan menerima baucar yang boleh ditebus dengan peralatan dan kelengkapan persekolahan bermula 25 Mac 2021 sehingga 30 Jun 2021 di mana-mana Pasaraya Sakan di seluruh negara.

“Bantuan yang diberikan ini selaras dengan Pelan Strategik Kejora 2021-2025 di bawah teras ke empat iaitu Modal Insan di bawah Program Pembangunan Pendidikan dan Kemahiran dalam inisiatif bakti KEJORA.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua jawatankuasa yang bertungkus-lumus menjayakan program ‘Back To School 2021’. Semoga segala yang diusahakan membantu meringankan beban pelajar kurang berkemampuan dan memberikan senyuman buat pelajar,” katanya, lapor Sinar Harian.

Advertisement

Sementara itu, A Jalil berkata, selari dengan misi KEJORA baharu iaitu menjadikan Wilayah Johor Tenggara maju dan sejahtera melalui pemerkasaan modal insan, prasarana dan sosio ekonomi mampan, KEJORA bertanggungjawab memberikan khidmat terbaik kepada penduduk dalam wilayahnya.

Beliau berkata, pada tahun ini KEJORA menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM35.2 juta dan sebanyak RM500,000 telah dikhususkan bagi pembangunan modal insan dengan sasaran menjadikan masyarakat luar bandar KEJORA berilmu, mahir dan cemerlang.

“Saya berkeyakinan pemberian bantuan ‘Back To School 2021’ ini memberi makna yang cukup besar kepada mereka yang memerlukan khususnya dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi semasa dengan harga barang meningkat.

Advertisement

“Justeru, bantuan ini dapat meringankan bebanan ibu bapa dalam proses pembelian barangan keperluan persekolahan pelajar,” kata beliau lagi.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top